Jom Sihat: Kanser Usus

Kanser usus yang juga dikenali sebagai kanser kolorektal adalah salah satu daripada kanser yang kerap berlaku.


Kanser usus seringkali dapat dikesan pada peringkat awal dan pada peringkat ini rawatan boleh menyembuhkan penyakit ini. Terdapat juga langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan risiko kanser usus.


Usus ialah organ terpanjang dalam sistem penghadaman. Ia mempunyai dua bahagian:
+ Usus kecil- tempat makanan diserap
+ Usus besar- tempat air dan garam diserap


Terdapat dua bahagian dalam usus besar iaitu kolon dan rektum.


Kanser usus ialah ketumbuhan kanser yang biasanya bermula dari dalam lapisan usus besar. Ia boleh membesar lama di situ sebelum merebak ke bahagian tubuh yang lain.
Oleh sebab itu, lebih awal kanser ini dikesan lebih cerahlah peluang untuk menyembuhkannya. Peluang untuk sembuh adalah 90%, jika penyakit ini dikesan pada peringkat awal.


SIAPA YANG BERISIKO?


Kanser usus boleh terjadi pada semua peringkat umur, tetapi risikonya lebih tinggi jika anda berusia lima puluh tahun ke atas.


Risiko untuk anda mendapat kanser usus semakin tinggi jika anda:
 mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap kanser usus.
 pernah menghidap penyakit radang usus (kolitis ulser atau kolitis Crohn) lebih daripada lapan tahun.


Jika anda mempunyai faktor-faktor di atas, berbincanglah dengan doktor anda tentang risiko mendapat kanser usus.



TANDA-TANDA


Tidak semua kanser usus menunjukkan tanda-tanda atau simptom awal tetapi anda harus berjumpa dengan doktor jika anda alami mana-mana yang berikut:
+ Keluar darah daripada dubur atau terdapat darah selepas membuang air besar.
+ Perubahan ketara pada tabiat membuang air besar: contohnya , lebih kerap membuang air besar atau najisnya cair, kerap sembelit dan/atau rasa lebih kerap hendak buang air besar daripada biasa.
+ Berasa tidak puas selepas membuang air besar.
+ Sakit perut.
+ Berat badan turun tanpa sebab yang nyata.
+ Berasa penat, lemah atau sesak nafas tanpa sebab. Gejala ini mungkin disebabkan oleh anemia akibat kekurangan zat besi. Anemia jenis ini boleh disebabkan oleh kanser usus.
Individu yang berusia empat puluh tahun ke atas perlu awasi tanda-tanda amaran kanser usus. 


Jika anda mempunyai salah satu daripada tanda-tanda kanser usus di atas, sila berjumpa doktor yang akan merujukkan anda untuk menjalankan beberapa ujian tertentu. Jika hasil ujian menunjukkan terdapatnya kanser usus, rawatan awal adalah lebih baik.


PENCEGAHAN


Anda boleh membantu mengurangkan risiko menghidapi kanser usus dengan:
+ makan makanan yang berkhasiat, termasuk mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dan mengurangkan pengambilan lemak haiwan.
+ mengekalkan berat badan yang sihat.
+ selalu bersenam.
+ tidak merokok.
+kurangkan minum alkohol.

0 comments: