Maafkan Saya

Ungkapan maaf yang paling tepat untuk aku gambarkan kepada apa yang telah terjadi sepanjang perkenalan singkat antara kami berdua. Maafkan saya awak kerana saya hanya manusia biasa. Selama mana saya dapat berselindung dari peribadi sebenar saya. Apa yang terjadi antara kita mungkin telah dimaktubkan oleh Allah yang kita berdua sendiri tidak tahu apa rencana Ilahi buat hidup kita ini. Tempoh perkenalan kita yang singkat tidak memungkinkan kita untuk mengenali dengan lebih lanjut peribadi masing-masing. Ketahuilah awak, untuk mengenal peribadi seseorang ialah satu proses sepanjang hidup kerana walau sepasang suami isteri yang telah lama berkahwin pun masih tidak dapat mengetahui peribadi sebenar pasangan secara 'total'. 

Saya banyak kelemahan dan kekurangan. Pernah satu waktu saya menerima seadanya kita berdua, supaya kita saling melengkapi, seikhlas mungkin hati saya cuba untuk awak, segala pintu cinta buat insan lain saya kunci sekemasnya bagi memberi ruang pada hubungan kita. Tapi, mungkin saya belum mengenali siapa dan bagaimana awak sebenarnya. Dan awak juga belum mengenali saya bagaimana. Kita datang dari dua hidup yang sangat berbeza. Jujurnya, saya senang dengan penerimaan keluarga awak pada saya sekeluarga. Namun, bagaimana pula hati kita berdua kerana yang ingin melanjutkan hidup alam rumah tangga ialah kita berdua. Pernikahan ialah satu ikatan yang paling suci yang menyatukan dua hati, menghalalkan satu perhubungan. Waktu itu saya yakin yang awak ialah yang terbaik untuk saya. Tapi, dugaan itu tetap mendatang. Semakin hari kita menjauh antara satu sama lain. Sesi pembelajaran saya di tahun akhir membuatkan tekanan melampau pada diri saya dan secara tak langsung awak terkena tempiasnya. Kadang-kadang kesabaran saya sudah tiada kemucak. Bak gunung berapi sahaja. Saya minta maaf awak.Atas apa yang saya lakukan terdahulu. Itu kekhilafan saya. Saya tahu awak tak baca luahan saya. Tapi ini cara saya untuk melepaskan apa yang terbuku di hati sanubari ini. 

Apa yang berlaku, sepanjang perkenalan singkat kita ini, pastinya telah ditentukan oleh Allah. Apa jua jawapan yang saya beri satu masa dahulu adalah satu jawapan terbaik dari saya seorang manusia biasa yang terlalu kotor dengan noda-noda hitam silam.Namun, saat saya begitu yakin dengan apa yang kita lalui, saat saya melepaskan segala titik-titik hitam hidup saya, segalanya bagai berputar 360'. Sebagai manusia biasa, saya tetap meletakkan keyakinan yang tinggi kepada Allah bahawa setiap yang berlaku mempunyai hikmah yang kita sendiri tak tahu. Dan dalam hikmah itu tersembunyi rahmat. Halalkan segala yang pernah saya termakan dan terminum dari awak. Dan awak ialah manusia paling baik pernah saya kenali, sehingga saya merasakan saya tidak pantas untuk awak. Semoga apa yang kita berdua lalui bakal lebih mematangkan kita berdua dalam membuat satu keputusan.

~Keep us close to You.Until the end of time..Baraka Allahu Lakuma wa Baraka alikuma Wa jamaah baina kuma fee khair~

0 comments: